Selasa, 8 November 2016

Kelantan nafi Khairul Fahmi, Badhri tinggalkan pasukan

Oleh Hasbullah Ibrahim bhsukan@bh.com.my
 
KHAIRUL Fahmi Che Mat dan Mohd Badhri Radzi. 

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menafikan penghijrahan beberapa tonggak ke pasukan lain menjelang saingan Liga Super musim depan. Senarai beberapa tonggak yang dikatakan berhijrah ialah penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat; Mohd Badhri Radzi; Daudsu Jamaludin dan Nor Farhan Muhammad ke Melaka United; Wan Zack Haikal; Muslim Ahmad serta Wan Zaharulnizam Wan Zakaria ke Pahang. 

Berita perpindahan pemain Kelantan itu diviralkan dalam laman sosial sejak beberapa hari lalu. Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Nor berkata, berita penghijrahan itu tidak berasas malah pemain terbabit sudah diberikan tawaran kontrak baharu selepas berakhir saingan Liga Super musim ini. 

"Semua pemain diberi peluang meneliti kandungan kontrak sebelum menyatakan persetujuan untuk menandatangani kontrak berkenaan mengikut tempoh tertentu yang dipersetujui. "Khidmat penjaga gol Khairul Fahmi dan pertahanan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim juga masih ada sehingga tahun 2017. 

"Kontrak pemain tengah naturalisasi, Brendan Gan pula masih diteliti kerana pemain berkenaan baharu sahaja menjalani rawatan pembedahan di Australia selepas mengalami kecederaan sewaktu mewakili Malaysia dalam aksi persahabatan di Indonesia," katanya ketika dihubungi BH di sini , hari ini. Akhbar sebelum ini melaporkan hasrat Nor Farhan, Zairul Fitree Ishak dan Daudsu Jamaludin untuk terus kekal bersama Kelantan jika mendapat tawaran yang memuaskan, nyata melegakan penyokong setia.
SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/210181

Tiada ulasan :

Catat Ulasan