Sabtu, 12 November 2016

Mosthakeem bimbang Kijang tiada penyerang

ARKIB : 28/01/1999
JURULATIH Kelantan, Mosthakeem Omar kini bimbang kerana pasukan yang dibimbingnya masih belum mempunyai pemain penyerang berkaliber yang diharapkan dapat membantu skuad Kijang musim ini.

Katanya, sejak pemilihan fasa pertama dan kedua diadakan, kebanyakan pemain yang menghadiri latihan adalah pemain pertahanan.

''Kita tiada pilihan kecuali membuka peluang kepada mana-mana pemain penyerang dari luar yang berminat mewakili Kelantan sebagai usaha memantapkan lagi pasukan,'' katanya di Kota Bharu, semalam.

Seramai 30 pemain terpilih untuk menjalani pemilihan fasa kedua sejak dua minggu lepas di bawah kendalian Mosthakeem, yang dibantu oleh Shamsuddin Awang dan Kamaruddin Mohamad.

Mosthakeem berkata, beliau masih menerima panggilan daripada beberapa pemain luar Kelantan yang berminat mengisi kekosongan itu.

Beliau enggan menamakan pemain berkenaan, demi kepentingan bersama.

Beliau mengakui jika masalah pemain penyerang tidak di atasi ia boleh menjejaskan matlamat skuad Kijang itu yang bertarung dalam Liga Perdana Dua musim ini, untuk layak ke Perdana Satu.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan berusaha meningkatkan ketahanan diri pemain ketika latihan kerana ia penting demi kemajuan bola sepak serta memenangi setiap perlawanan dalam Liga Perdana Dua nanti. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4PrQ4BFvs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan