Jumaat, 11 November 2016

Kelantan senarai 40 pemain

ARKIB : 15/01/1999
KELANTAN menyenaraikan 40 pemain yang beraksi pada sesi pemilihan selama tiga hari sebelum menentukan skuad negeri itu untuk Liga Perdana, musim ini.

Pemilihan oleh jurulatih baru, Mosthakeen Omar bersama dua pembantu jurulatih itu diadakan tiga hari lepas di Padang Penjara di Kota Bharu bagi mencari 23 pemain yang akan menyarung jersi Kelantan.

''Para pemain itu perlu bersaing termasuk dengan beberapa bekas pemain dari luar Kelantan dalam beberapa peringkat untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama musim ini,'' kata Mosthakeen, semalam.

Tiga bekas pemain Kedah - Kamal Idris Ali, Yeow Choh Hooi dan Tan Kim Hong - serta Zaidi Napiah dari Negeri Sembilan turut terpilih dalam sesi pemilihan yang diadakan itu.

Mosthakeen berkata, beliau masih menunggu beberapa penyerang yang pernah beraksi untuk Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Kuala Lumpur untuk memantapkan barisan serangan musim ini.

Katanya beberapa pemain dari luar termasuk Domi Che Non yang mewakili Pulau Pinang musim lepas, tiba di Kelantan hari ini untuk menjalani sesi pemilihan akhir.

''Kita sedia menerima penyerang dari mana-mana negeri yang berminat untuk mewakili Kelantan musim ini, tetapi mereka mesti menjalani sesi pemilihan,'' katanya. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4PiHsSTsO © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan