Sabtu, 12 November 2016

Hashim minta pemain tingkatkan disiplin

ARKIB : 25/01/1999
BEKAS pemain kebangsaan dan Kelantan Hashim Mustapa meminta kesebelasan utama pasukan Kelantan musim ini supaya meningkatkan disiplin dan mengikuti latihan dengan penuh semangat.

Katanya, kejayaan sesebuah pasukan bergantung kepada pemain yang memberi kerjasama kepada jurulatih dan pihak pengurusan.

''Kalau boleh lupakan sejenak masalah imbuhan bulanan, sebaliknya tumpukan kepada latihan dan permainan,'' katanya di Kota Bharu, semalam.

Dia ditemui ketika menghadiri sesi latihan dan pemilihan yang diadakan di padang Penjara, Pengkalan Chepa di bawah kendalian jurulatih Mosthakeem Omar.

Katanya, sekiranya kudratnya masih diperlukan oleh Kelantan musim ini, dia akan cuba membantu menaikkan imej skuad Kijang bersama pemain lain.

Sementara itu, Mosthakeem ketika ditemui mengesahkan menerima kehadiran pemain daripada Selangor dan Negeri Sembilan untuk sesi latihan itu.

''Kita terpaksa menyembunyikan nama pemain itu demi kebaikan kedua belah pihak, lagipun pemain terbabit masih diuji,'' katanya.

Beliau berkata, corak latihan 'ala tentera' akan diadakan bagi mencari pemain yang betul-betul dapat bermain 90 minit.

Katanya, banyak tawaran diterima dari pemain luar Kelantan untuk mewakili skuad itu musim ini sebagai pemain pertahanan, sedangkan Kelantan memerlukan pemain barisan depan. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PqsL4TkL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan