NIK AKIF SYAHIRAN
02 Februari 2019 3:00 AM
KOTA BHARU 1 Feb. – Kemenangan dalam aksi pembukaan Liga Perdana menentang
Selangor United di Selayang esok amat penting buat Kelantan jika mahu
mengembalikan semula keyakinan penyokong.
Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat berkata, pertemuan itu
pasti amat dinantikan peminat Red Warriors bagi menilai kekuatan sebenar
pasukan untuk mengharungi saingan liga musim ini.
“Ia tekanan kepada kami kerana perlawanan itu akan memberikan kesan
terhadap kehadiran penyokong ke stadium sepanjang liga berlangsung.
“Jika keputusan tewas, sekurang-kurang kami perlu memberikan persembahan
yang terbaik bagi memberikan keyakinan kepada penyokong untuk terus bersama
kami,” katanya hari ini.
Kelantan antara nama besar dalam saingan Liga Super yang terpaksa beraksi
pada Liga Perdana musim ini selepas gagal mengekalkan kedudukan 10 teratas pada
saingan Liga Super musim lalu.
Nik Akif berkata, dia juga mengharapkan tiga pemain import baharu pasukan
itu memainkan peranan yang besar bagi membantu pasukan untuk membawa pulang
tiga mata ke Kota Bharu.
“Sepanjang sesi latihan dan beberapa perlawanan pemanas badan saya lihat
ketiga-tiga pemain import menunjukkan impak positif kepada pasukan, terutama
bahagian serangan dengan kehadiran penyerang import dari Uruguay, Raul Adres
Tarragona.
“Posisi tengah, saya akan berusaha sedaya mampu untuk mencipta peluang
kepada barisan penyerang untuk menjaringkan gol,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/i-red-warriors-i-mahu-pikat-pemain-ke-12-1.833983#ixzz5eQiqAVkZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan