ARKIB : 14/05/2011
Piala FA: Selangor dibelasah teruk
Pemain Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal (tiga dari
kiri) berjaya melepasi halangan dua pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak (dua
dari kiri) dan Mohd. Nurul Azwan Roya pada pertemuan separuh akhir pertama
Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi. Kelantan menang 5-1. UTUSAN/Mohd.
Shaharani Saibi
KUALA LUMPUR - Sebelah tangan Kelantan sudah
menguak pintu perlawanan akhir selepas membelasah Selangor 5-1 pada separuh
akhir bola sepak Piala FA sementara Terengganu bangkit dengan mengagumkan untuk
turut merebut satu lagi tiket setelah mengatasi Pahang 3-2, malam tadi.
Anak buah K. Devan yang juga juara 2009, bagaikan dipukau
dengan dua gol Ramzul Zahini Adnan pada minit ke-10 dan 40 selain masing-masing
satu daripada ketua pasukan, Badri Radzi (43), Nurul Azwan Roya (67) dan
Norshahrul Idlan Talaha (71) di Stadium Shah Alam.
Tuan rumah beroleh gol sagu hati menerusi ketua
pasukan, Amri Yahyah dalam masa kecederaan untuk mencari sedikit modal bagi
terus bersaing pada separuh akhir kedua, Isnin ini sekalipun menempah laluan
yang amat berliku apatah lagi dengan peraturan jaringan tempat lawan.
Sebaliknya, pelawat bimbingan Datuk M. Karathu
bakal kembali ke Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dengan cukup selesa
malah sudah boleh memikirkan untuk hanya menurunkan barisan simpanan mahupun
lebih banyak bertahan.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula, Tok Gajah
pula mensia-siakan pendahuluan dua gol menerusi sepakan bebas kaki kiri Munir
Amran dan R. Surendren masing-masing pada minit ke-47 dan 54 gara-gara
kelalaian barisan belakangnya pada setengah jam terakhir.
Terengganu yang diterajui Irfan Bakti Abu Salim
sebaliknya kembali garang malah memanfaatkan keadaan tertekan lawan apabila
merapatkan kedudukan menerusi jaringan sendiri pemain Pahang, Saifulnizam
Miswan pada minit ke-63 yang tertampan sepakan Ashari Samsudin.
Wan Aliff Jasmi menambah derita tuan rumah dengan
tandukan jarak dekatnya pada minit ke-81 sebelum Ismail Faruqi memastikan Sang
Penyu beroleh kemenangan dan kelebihan satu gol di Kuala Terengganu, Isnin ini
menerusi tandukannya dalam minit terakhir perlawanan.
Sementara itu, PKNS menempah tempat kenaikan ke
Liga Super musim depan (sekiranya tiada pindaan peraturan oleh Jawatankuasa
Pertandingan Tempatan) setelah menumpaskan Sarawak 2-0 pada perlawanan Liga
Perdana di Stadium Petaling Jaya.
Kelab Selangor bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu
kini mengumpul 45 mata daripada 17 perlawanan sekali gus sukar dikejar untuk
sekurang-kurangnya berada dalam kelompok dua teratas Liga Perdana dan
dipisahkan dengan sembilan mata berbanding Sarawak.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eKmyL9nw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan