ARKIB : 11/05/2011
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
sukan@utusan.com.my
PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd. Alif Samsudin (kiri)
hampir terjatuh ketika perebutan bola dengan pemain Kelantan, Zairul Fitree
Ishak pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban
semalam. - UTUSAN/ MD.SHAHJEHAN MAAMIN
SEREMBAN - Hasrat Kelantan untuk kembali menerajui
takhta Liga Super tidak kesampaian apabila sekadar seri dalam pertemuan
menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.
Keputusan tanpa jaringan itu sekali gus membuatkan
Selangor kekal di tempat pertama liga dengan 42 mata, manakala Kelantan hanya
40 mata selepas sekadar membawa pulang satu mata daripada perlawanan tersebut.
Dalam perlawanan semalam, Kelantan bermula garang
dan menguasai keseluruhan awal babak permainan.
Penyerang lincah Kelantan, S. Chanturu berjaya
menggegar jaring tuan rumah pada saat akhir separuh masa pertama, namun gol
tersebut dibatalkan kerana dia berada pada kedudukan ofsaid.
Skuad Hoben Jang Hoben juga mempunyai peluang gol
menerusi gerakan pemain sayap Shahurain Abu Samah dan pemain senior, Mohd.
Shukor Adnan, namun cubaan mereka digagalkan dengan ketangkasan penjaga gol
Khairul Fahmi.
Babak kedua pula memperlihatkan penguasaan maksimum
Negeri Sembilan, namun beberapa percubaan gol terbaik gagal disempurnakan.
Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu memasukkan
bekas penyerang kebangsaan dan Perak, Khalid Jamlus pada babak kedua.
Khalid menghangatkan suasana apabila berjaya
meletakan bola ke dalam gawang pasukan tuan rumah, namun ia dibatalkan kerana
ofsaid.
Mengulas perlawanan tersebut, jurulatih Negeri
Sembilan, Mohd. Azrai Khor Abdullah berkata, dia berpuas hati walaupun hanya
meraih satu mata.
Paling penting, katanya benteng pertahanan Negeri
Sembilan berjaya menyekat Kelantan daripada menjaringkan gol.
"Kelantan mendominasi permainan babak pertama,
namun kita bangkit dan lebih agresif pada babak kedua.
"Saya mengucapkan tahniah kepada pemain kerana
menunjukkan semangat juang yang tinggi terutamanya Irwan Fadly, yang beraksi
cemerlang menyekat serangan pemain Kelantan," katanya.
Jurulatih skuad The Red Warriors, Datuk M.Karathu
kecewa dengan keputusan tersebut, kerana gagal merampas kedudukan pendahulu
liga.
"Kami mempunyai peluang gol pada babak
pertama, namun gagal disempurnakan oleh jentera serangan," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eKSCVjk3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan