Jumaat, 1 Februari 2019

Kelantan berpeluang menang - Kecik


ARKIB : 23/05/2011
 KOTA BHARU - Pemain sayap skuad Olimpik, Wan Zahrulnizam Wan Zakaria (gambar) atau lebih mesra dengan panggilan 'Kecik', meluahkan keyakinan pasukan negeri kelahirannya Kelantan, mampu merangkul kejuaraan Piala FA musim ini.

Anak kelahiran Kampung Semat Jal, Tumpat, itu berkata, berdasarkan barisan pemain serta aksi konsisten yang dipamerkan The Red Warriors, tidak mustahil misi untuk menjulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama akan tercapai, sekali gus melakar sejarah baharu bola sepak Kelantan.

"Saya yakin dan percaya Kelantan mampu melakukan kejutan dalam aksi final kali ini. Rata-rata pemain yang membarisi skuad kali ini semuanya sudah masak dengan saingan di peringkat perlawanan akhir.

"Bagi saya Kelantan dilihat tidak berdepan dengan masalah tersebut. Inilah peluang terbaik buat The Red Warriors untuk melakukannya selepas gagal pada 2009," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tanpa berselindung, Kecik mengakui dia tumpang gembira di atas kejayaan The Red Warriors layak ke perlawanan akhir.

"Secara peribadinya saya gembira dengan kejayaan ini. Saya harap Kelantan dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin agar tidak lagi kempunan untuk merasai nikmat selaku juara Piala FA buat kali pertama," ujarnya.

Kecik memulakan kariernya sebagai pemain bola sepak ketika berusia 10 tahun. Bakatnya semakin menyerlah apabila dia dipanggil untuk membarisi skuad bawah 12 tahun Kelantan untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) selama tiga tahun berturut-turut.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_12.htm#ixzz5eL0lWzEa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan