Jumaat, 1 Februari 2019

Terengganu, Kelantan dikawal ketat


ARKIB : 02/06/2011Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
 
Hamidin Mohd. Amin (dua dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Pengelola perlawanan akhir Piala FA mendengar penerangan daripada Penolong Setiausaha Agung FAM, Fuad Ahmad (duduk) ketika meninjau keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil , semalam. - Bernama

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berkompromi mengenai tahap keselamatan perlawanan akhir Piala FA membabitkan dua pasukan Pantai Timur, Terengganu menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Jun ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengerah 2,430 anggotanya, sambil dibantu 400 anggota Ikatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di dalam dan luar stadium terkawal sepanjang perlawanan itu.

Sambil menyifatkan peningkatan jumlah anggota polis yang dikerah sebagai perkara biasa, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin melahirkan penghargaan terhadap pihak polis di atas komitmen agensi penguatkuasa itu membantu FAM dalam setiap perlawanan penting.

"Kita semua tahu dalam mana-mana perlawanan akhir, ada segelintir peminat yang mungkin gagal mengawal emosi.

"Jadi, isu tahap keselamatan amat penting dan kita tidak boleh leka. Ia patut berada pada tahap maksimum dari awal sehinggalah selesai perlawanan," kata Hamidin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rashid, pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh dan pengurus Kelantan, Azman Ibrahim.

Berhubung perbuatan menyeludup masuk barang larangan terutama mercun, Hamidin mengakui ia sukar dibendung, namun sepihaknya dan polis akan cuba mengurangkannya.

Terdahulu, Hamidin bersama sekumpulan pegawai FAM memeriksa keadaan padang dan sekitar Stadium Nasional.

"Selepas menjalankan pemeriksaan ke stadium dan padang hari ini, saya boleh katakan padang berada dalam keadaan terbaik.

"Kemudahan bilik persalinan dan doping juga dalam keadaan yang sangat bagus,'' katanya.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengumumkan sejumlah 60,000 tiket, masing-masing 30,000 bagi penyokong Kelantan dan Terengganu akan mula dijual oleh persatuan bola sepak negeri, Isnin depan.

Sementara baki 25,000 keping tiket pula akan dijual di kaunter tiket Stadium Nasional sehari sebelum perlawanan akhir berlangsung, 11 Jun ini.

Ia akan mula dijual seawal jam 9 pagi hingga 7 malam. Sekiranya tidak habis dijual, penjualan tiket akan diteruskan pada keesokan harinya.

Tiket dijual pada harga RM50 bagi tempat duduk grandstand, RM30 (teres) dan RM5 bagi kanak-kanak.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eLyw8ffd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan