ARKIB : 17/05/2011
Oleh Radhuan Hussain dan Azran Fitri Rahim
sukan@utusan.com.my
Pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahaya meraikan gol
pertama pasukannya ketika menentang Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin,
Kuala Terengganu.
KUALA LUMPUR Kelantan dan Terengganu secara rasmi
mengesahkan pentas perlawanan akhir Piala FA musim ini selepas tidak berdepan
masalah mengatasi lawan masing-masing secara agregat pada perlawanan separuh
akhir kedua semalam.
Di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Kelantan
yang sudah sebelah kaki ke perlawanan akhir selepas membelasah Selangor 5-1
pada separuh akhir pertama, tetap beraksi dengan penuh bersemangat untuk seri
1-1.
Keputusan itu memastikan kemaraan mereka ke final
pada 21 Jun ini dengan agregat selesa 6-2.
Skuad The Red Warriors yang turun tanpa lima pemain
utama termasuk penyerang kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talaha tetap mempamer
aksi garang bagi menyekat kebangkitan Selangor.
Serangan bertali arus yang diketuai oleh bekas
penyerang kebangsaan, Mohd. Khalid Jamlus dan pemain muda, Ramzul Zahini Adenan
akhirnya membuahkan hasil pada minit kesembilan menerusi Mohd. Shakir Shaari
yang menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd. Iqbal Suhaimi.
Selangor yang semakin berputus asa, akhirnya
mendapat gol sagu hati melalui Rudie Ramli pada minit ke 78, hasil hantaran
lintang Amri Yahya.
Lawan Kelantan pada pentas final nanti, Terengganu
juga cemerlang apabila gah dengan agregat 5-2 selepas mengalahkan Pahang 2-0 di
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu.
Kemaraan ke final pada musim ini menamatkan
penantian tujuh Terengganu, disempurnakan menerusi jaringan penyerang lincah
pasukan tuan rumah Abdul Hadi Yahaya dan pemain gantian, Mohd. Ailimi Fahmi
masing-masing pada minit ke-36 dan ke-86.
Jaringan Abdul Hadi dihasilkan menerusi sepakan
penalti setelah dia dijatuhkan penjaga gol Pahang, Mohd. Rosfaizul Azuar Ali di
dalam kotak penalti.
Terengganu pernah menjulang Piala FA apabila
mengalahkan Pulau Pinang pada perlawanan akhir 2000.
Kejayaan itu turut dikongsi Menteri Besar
Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang turut hadir menyaksikan perlawanan
bersama kira-kira 18,000 penonton.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eKroJggY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan