Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)
tidak akan menghukum Daudsu Jamaluddin kerana tertanduk bola ke gawang sendiri
ketika cuba menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi dalam perlawanan
akhir Piala FA menentang Terengganu Sabtu lalu.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemain
tersebut tidak sengaja melakukan kesilapan itu, sebaliknya berusaha sedaya
upaya untuk mengeluarkan bola daripada membolosi jaring.
"Kafa tidak akan menghukum beliau di atas
kesilapan yang dilakukan itu. Tiada sebab untuk dia dihukum," katanya.
Beliau merasmikan Majlis Menabur Benih Padi Musim
1/2011 di Bendang Permatang Pusu, dekat sini, semalam.
Sementara itu Annuar berkata, permohonan maaf yang
dibuat Daudsu yang disiarkan oleh media kelmarin, merupakan sesuatu yang sangat
baik kerana ia dilakukan secara terbuka.
Dalam perkembangan lain katanya, Kafa akan
menganjurkan program 'Bersamamu The Red Warriors' yang bertujuan untuk
menghargai sokongan padu yang telah diberikan oleh peminat kepada pasukan
Kelantan pada 2 Julai ini di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini.
Katanya, pelbagai acara menarik telah disediakan
untuk memeriahkan program tersebut termasuk perlawanan persahabatan
antarabangsa antara The Red Warriors dengan salah sebuah kelab sama ada dari
Indonesia atau Thailand.
"Saya harap semua peminat menyimpan kedua-dua
keratan tiket perlawanan melibatkan Kelantan dan Perak (semalam) serta
pertemuan Malaysia dengan Myanmar Sabtu ini jika mahu masuk secara percuma
menyaksikan perlawanan pada 2 Julai nanti," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eMVK0DJf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan