ARKIB : 07/07/2011
Pemain Kelantan meraikan kejayaan menjuarai Liga
Super 2011 selepas mengalahkan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu,
semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri
KUALA LUMPUR - Kelantan cemas seketika sebelum
mengesahkan kejuaraan Liga Super 2011 apabila diasak pasukan tuan rumah Sabah
pada babak akhir perlawanan, sebelum menang 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu
semalam.
Peledak utama Red Warriors, Noorshahrul Idlan
Talaha muncul wira pasukannya apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit
ke-5 dan ke-71.
Selepas jaringan kedua itu, Kelantan yang hanya
menantikan wisel penamat dibunyikan, cemas apabila Sabah bangkit memberi
tentangan dengan memperoleh gol menerusi Razlan Otoh, minit ke-76.
Jaringan tersebut menyuntik semangat pemain Sabah
untuk memburu gol penyamaan dengan melakukan asak bertali arus, namun gagal
menembusi gawang Kelantan yang dikawal kemas Khairul Fahmi Che Mat.
Kemenangan pada perlawanan terakhir semalam
membolehkan Kelantan mengumpul 56 mata dan tidak mampu dicabar Selangor dan
Terengganu.
Sebaliknya Selangor menutup saingan musim ini
dengan penuh kehampaan, apabila bukan sahaja gagal memintas Kelantan,
sebaliknya tercicir ke tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan Perak
di Stadium Perak, Ipoh.
Kedudukan naib juara pula menjadi milik Terengganu
apabila berpesta gol dengan membelasah Felda United 6-2 di Stadium MBPJ, Kelana
Jaya.
Penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya meledak
empat gol pada minit ke-22, ke-42, ke-70 dan ke-82, manakala dua gol lagi
dijaringkan Ree Shafiq Alwi minit ke-16 dan Abdul Manaf Mamat minit ke-18.
Gol Felda United pula dijaringkan Mat Asmarul
Fadzil Hassan minit ke-45 dan Mohd. Shazwan Zainon minit ke-85.
Negeri Sembilan menutup saingan musim ini dengan
kemenangan 2-0 ke atas Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil
jaringan Ahmad Fakri Sharani minit ke-36 dan Shahurain Abu Samah minit ke-59.
Kedah menamatkan saingan di tangga keempat selepas
menang 1-0 ke atas pasukan kedua tercorot, Pahang di Stadium Darulmakmur,
Kuantan menerusi jaringan tunggal Mohd. Fiqri Md. Isa minit ke-69.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eY3llhLu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan