ARKIB : 11/07/2011
Izuan Salahuddin berjaya melepasi penjaga gol
Pelita Jaya ketika menjaringkan gol Kelantan pada aksi persahabatan di Stadium
Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU - Kelab Liga Super Indonesia (ISL),
Pelita Jaya berminat untuk mendapatkan khidmat pemain muda Kelantan, Izuan
Salahuddin.
Hasrat tersebut dinyatakan Pengurus kelab itu, Lalu
Mara selepas menyaksikan kelibat Izuan, yang menjaringkan gol pada aksi
persahabatan dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, di sini kelmarin
yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Menurut Lalu, dia kagum dengan kepantasan Izuan,
pemain yang disenaraikan ke dalam skuad Harimau Muda untuk menjalani latihan ke
Slovakia serta aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana England, Chelsea
"Pemain itu (Izuan) memiliki kepantasan larian
yang begitu baik. Dia memiliki potensi sebagai pemain yang mampu menyerlah pada
masa akan datang," katanya.
Izuan merupakan pemain dari skuad Piala Presiden
yang diserapkan ke skuad utama Red Warriors mulai pertengahan musim ini.
Pelita Jaya sudah pun mendapat sentuhan pemain
kebangsaan, Safee Sali.
Safee tidak diturunkan pada perlawanan kelmarin,
yang menyaksikan Red Warriors beraksi tanpa lima pemain tonggak yang bersama
skuad kebangsaan.
Kelantan turut mengambil kesempatan daripada
perlawanan tersebut dengan menurunkan pemain jemputan dari Crotia, Jocip
Bonasin, yang beraksi pada bahagian pertahanan.
Kelantan mendahului Pelita Jaya hasil jaringan
Mohd. Izuan pada ke-72, hasil hantaran menarik Mohd. Badri Radzi.
Joko Sasongko menjadikan kedudukan 1-1 menerusi
jaringan pada minit akhir perlawanan.
Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu memuji
persembahan pemainnya dan yakin pasukannya mampu melangkah lebih jauh sekiranya
diberi pendedahan beraksi dengan pasukan luar negara.
"Kita sebenarnya beraksi menentang pasukan
yang kuat dan dalam perlawanan ini saya berpeluang menilai sejauh mana
keupayaan pemain simpanan sekiranya berlaku situasi buruk terhadap pasukan ini
dalam saingan Piala Malaysia nanti," katanya.
Mengenai persembahan Bonacin, Karathu berpuas hati
dengan aksi pemain Croatia itu.
"Dia bermain dengan bagus, saiz fizikalnya
sesuai selain mempunyai kelebihan kaki kiri. Namun, saya tidak boleh menilai
persembahan dia dalam satu perlawanan sahaja. Dia ada kualiti tetapi saya mahu
lebih daripada itu," katanya.
Sementara itu, Lalu berkata, perlawanan tersebut
membuka lembaran baru dalam hubungan antara kedua-dua pasukan dan berhasrat
mengundang Kelantan beraksi di Indonesia.
"Perlawanan ini amat berharga kepada Pelita Jaya
kerana kebanyakan pemain yang diturunkan, pemain muda. Saya juga mengucapkan
terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di atas pelawaan
ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eYBc2dE3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan