ARKIB : 07/06/2011
Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
sukan@utusan.com.my
Pemain Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ri (kiri)
berebut bola dengan pemain Kelantan, Mohd. Shakir Shaari (tengah) dan Mohd. Abd
Aziz Ismail pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin,
Kuala Terengganu semalam. - UTUSAN/Shaifudin Mohd Nor
KUALA TERENGGANU - Kelantan terus mengorak langkah
besar untuk memburu kejuaraan Liga Super buat kali pertama selepas mengecewakan
Terengganu 3-0 di gelanggang lawan pada ketika saingan hanya berbaki dua
perlawanan.
Malah, kemenangan di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin semalam memberi kelebihan psikologi buat skuad bimbingan Datuk M.
Karathu menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Bukit
Jalil, Sabtu ini.
Namun, Kelantan masih belum boleh menarik nafas
lega kerana terus dihambat rapat oleh penyandang juara, Selangor yang
membuktikan kesungguhan untuk mengejar pendahulu apabila membelasah pasukan
tercorot, Perlis 7-1 di Stadium Shah Alam.
Beraksi di hadapan lebih 10,000 penyokong sendiri,
anak didik Irfan Bakti tidak mampu membendung asakan hebat pelawat yang
diketuai penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.
Ketiadaan Ashaari Samsudin yang digantung satu
perlawanan juga menjejaskan corak permainan tuan rumah sehingga mengakibatkan
dua lagi penyerang iaitu Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat seakan
kehilangan punca pada babak pertama.
Pelawat pula sebaliknya bijak mengawal perlawanan
dan memanfaatkan peluang terhidang apabila Mohd. Izuan membuka jaringan seawal
minit ketujuh setelah berlaku kekalutan di depan gawang tuan rumah yang dikawal
Mohd. Sharbinee Allawee.
Bermula separuh masa kedua, tuan rumah mula
menampilkan aksi yang lebih kemas, namun masih gagal memecah kebuntuan untuk
memperoleh sekurang-kurang gol penyamaan, sebaliknya Norshahrul Idlan bijak
menyempurnakan peluang untuk gol kedua pelawat pada minit ke-72.
Norshahrul sekali lagi menjadi duri dalam daging
Terengganu apabila menghukum kealpaan tuan rumah dengan gol ketiga pada masa
kecederaan, sekali gus menghapuskan sisa perjuangan skuad Penyu.
Sementara itu, Selangor garang mendahului 5-0 pada
babak pertama di Shah Alam dengan Mohd. Asrarudin Putra Omar mengetuai amukan
skuad Merah Kuning apabila meledakkan empat gol, manakala Rudie Ramli, Fitri
Syazwan Raduan dan Mohd. Amirul Hadi Zainal masing-masing menambah satu gol.
Azmizi Azmi tidak mampu melegakan kesengsaraan Perlis
biarpun berjaya memperoleh gol saguhati pelawat pada minit ke-75. Selangor kini
menghambat Kelantan dengan dua mata di belakang ketika saingan berbaki dua
perlawanan. Kelantan mengumpul 50 mata selepas 24 perlawanan, diikuti Selangor
48, manakala Terengganu jatuh ke tangga ketiga dengan 47 mata.
Negeri Sembilan turut mengamuk di Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi apabila membelasah T-Team 4-0, bagaimanapun perlawanan
semalam dicemari dengan dua layangan kad merah, yang menyaksikan kedua-dua
pasukan menamatkan saingan dengan 10 pemain.
S. Kunalan meletakkan tuan rumah di depan seawal
minit pertama permainan, sebelum Firdaus Azizul menambah dua gol pada minit
ke-22 dan 42, manakala Hairuddin Omar melengkapkan gol keempat pada minit
ke-46.
Dalam satu lagi saingan, Kedah memintas Perak untuk
menghuni tangga keempat liga dengan 41 mata selepas menundukkan Felda United
2-1 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, pada ketika Perak hanya mampu seri 1-1
dengan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang untuk meletakkan pasukan itu di
tangga kelima.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eM4ef96L
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan