ARKIB : 10/06/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Penampilan sulung pada perlawanan
akhir Piala FA akan digunakan sebaik mungkin oleh pemain sayap lincah Red
Warriors, Nurul Azuwan Roya bagi membantu pasukannya meraih kejuaraan buat kali
pertama.
Nurul Azuwan atau Awe, mahu menjadikan perlawanan
akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil esok sebagai medan terbaik untuk membalas
kepercayaan yang telah diberikan oleh pengurusan pasukan termasuk Ketua
Jurulatih, Datuk M. Karathu.
Menurutnya, meskipun kali pertama beraksi pada
pentas perlawanan akhir, dia tidak gentar untuk berhadapan dengan puluhan ribu
penyokong lawan, yang dijangka menguasai veneu final nanti.
"Saya rasa semakin bersemangat dan tidak sabar
untuk beraksi. Inilah peluang terbaik buat saya dan pasukan mencipta sejarah
baru bola sepak Kelantan dengan membawa pulang kejuaraan Piala FA buat kali
pertama ke bumi Kelantan.
"Selaku anak jati negeri ini, saya akan
mempamerkan aksi terbaik dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan
tersebut. Namun jangan terlalu yakin walaupun kita pernah menewaskan mereka 3-0
dalam saingan Liga Super Isnin lalu," katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, dia yakin Kelantan mampu muncul juara
sekiranya rakan-rakan sepasukan memberi tumpuan sepenuhnya dan mengikuti segala
arahan yang telah ditetapkan oleh ketua jurulatih.
Anak kelahiran Seremak, Pasir Puteh itu
menjangkakan, perlawanan akhir sengit dan Terengganu pastinya tidak akan
memberikan laluan mudah buat Kelantan.
"Terengganu pasti akan turun bermati-matian
selepas mereka tumpas kepada kita baru-baru ini. Untuk itu, saya dan
rakan-rakan sudah bersedia menghadapi perlawanan ini," tegasnya.
Sementara itu, Mohd. Izuan Solahuddin yang
menjaring gol dalam pertemuan menentang Terengganu, mahu menjadikan penampilan
kedua pada pentas akhir Piala FA sebagai penebus kekecewaan selepas tewas
kepada Selangor menerusi sepakan penalti pada 2009.
Meskipun hanya memanaskan bangku simpanan pada
penampilan pertamanya, dia bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik sekiranya
diberi kepercayaan menggalas tugas selaku pemain utama pada perlawanan akhir
tersebut.
"Pada final 2009 saya hanya menjadi pemain
simpanan sahaja, namun untuk tahun ini sekiranya diberikan kepercayaan oleh
ketua jurulatih saya akan memberikan yang terbaik pada perlawanan tersebut.
"Ini peluang terbaik buat saya, jadi ia harus
digunakan sebaik mungkin dengan membantu pasukan meraih kejuaraan,"
ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eMIkrPQx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan