ARKIB : 16/05/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
Muhammad Ramzul Zahini (kiri) dan Norshahrul ketika
menyertai sesi latihan pasukan Kelantan di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU - Sentuhan memukau yang ditampilkan oleh
penyerang muda The Red Warriors, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dengan meledak
dua gol ketika membantu pasukannya menumbangkan Selangor 5-1 pada separuh akhir
pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu memberikan petanda bahawa
dia sudah bersedia untuk kembali menggalas tugas selaku penggempur utama.
Turun selaku pemain utama pada perlawanan itu, anak
kelahiran Kampung Kangkong, Pasir Mas itu, ternyata pantas menyambar peluang
yang diberikan oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu dengan
mempamerkan sentuhan berbisa menyebabkan skuad bimbingan K. Daven bagaikan
dipukau aksi mantap The Red Warriors.
Muhammad Ramzul berkata, dia semakin bersemangat
untuk kembali merebut tempat dalam senarai kesebelasan utama menjelang aksi
separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.
Beliau berkata, dua gol yang dijaringkan pada
perlawanan itu amat bermakna buat dirinya selepas pulih daripada kecederaan
serius ketika bertemu Negeri Sembilan awal Mac lalu.
"Ini merupakan dua gol pertama saya dalam
saingan Piala FA musim ini. Saya berterima kepada ketua jurulatih kerana
memberikan peluang kepada saya untuk kembali ke dalam pasukan selepas aksi
dengan Kuala Lumpur 30 April lalu.
"Walaupun tidak mendapat tempat dalam tiga
perlawanan sebelum ini, ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan saya untuk kembali
merebut tempat dalam pasukan. Alhamdulillah saya berjaya kembali dan
menjaringkan gol semangat buat pasukan," katanya ketika dihubungi di sini,
semalam.
Tambahnya, dua jaringan di Stadium Shah Alam tempoh
hari adalah hasil bantuan rakan-rakan yang banyak membuka peluang kepadanya
untuk membuktikan ketajaman penyudah.
Bekas bintang Piala Presiden Kelantan musim 2006
itu memberitahu, keyakinannya bertambah selepas berjaya menjaringkan gol dalam
perlawanan tersebut yang turut melonjakkan semula moralnya untuk terus
mempamerkan aksi terbaik.
"Sekiranya terus diberikan peluang untuk
perlawanan malam esok (ini), saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik dalam
perlawanan selepas itu dan cuba membantu pasukan layak ke pentas akhir buat
kali kedua seterusnya membawa kejuaraan Piala FA ke Kota Bharu.
"Meskipun terpaksa bersaing dengan pemain yang
sedia ada, itu bukan alasan. Apa yang penting saya kena terus berusaha dan
belajar dari mereka yang berpengalaman untuk menjadi penggempur berbisa
terutama daripada rakan sepasukan Norshahrul Idlan Talaha," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eKpKJhxP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan