ARKIB : 18/05/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
Pemain Kelantan, Ramzul Zahini Adenan (kanan)
melepasi asakan pertahanan Selangor pada Piala FA di Stadium Sultan Muhammed
IV, Kota Bharu, kelmarin.
KOTA BHARU - Pengendali Kelantan, Datuk M. Karathu
puas sejurus pasukannya menafikan hasrat gergasi bola sepak tanah air, Selangor
ke perlawanan akhir Piala FA musim ini, meskipun sekadar seri 1-1 pada separuh
akhir kedua kelmarin.
Keputusan seri tidak menggugat hasrat Kelantan
untuk mara ke final buat kali kedua dengan agregat 6-2 selepas melakukannya
pada tahun 2009.
Karathu berkata, kejayaan itu merupakan hadiah
bermakna buatnya selepas pemain mempamer semangat juang yang tinggi sepanjang
mengharungi saingan Piala FA musim ini.
"Saya puji semangat pemain, mereka bermain
mati-matian dalam setiap perlawanan. Bermula dengan T-Team pada perlawanan
pusingan pertama yang saya sifatkan cukup getir apabila perlawanan diheret ke
penentuan penalti, diikuti Johor FC pada pusingan kedua.
"Kedua-dua perlawanan ini kita bermain di
tempat lawan, namun kita berjaya memenangi perlawanannya hasil komitmen dan
disiplin tinggi pemain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia,
semalam.
Mengulas persembahan pemain pada aksi di Stadium
Sultan Muhammed V, kelmarin, Karathu berkata, meskipun tanpa kelibat Norshahrul
Idlan Talaha yang direhatkan serta dua tonggak pertahanan, Mohd. Farisham
Ismail serta Mohd. Zairul Fitree Ishak yang digantung, pemain lain tetap tampil
dengan persembahan mantap.
"Pemain yang diturunkan semalam menunjukkan
satu tahap keghairahan yang tinggi iaitu mahu membawa pulang Piala FA ke
Kelantan.
"Mereka menggunakan segala peluang yang ada
sehingga berjaya memperolehi gol awal menerusi Shakir pada minit ke-9.
"Gol tersebut membolehkan kami menguasai perlawanan.
"Kemenangan ini hadiah buat para penyokong,
inilah masa terbaik buat kami untuk menghadiahkan satu lagi kejuaraan buat
mereka musim ini," ujarnya.
Kejayaan ke pentas akhir Piala FA memberikan M.
Karathu peluang mencipta satu lagi sejarah buat Kelantan, iaitu membawa pulang
kejuaraan buat kali pertama selepas gagal disempurnakan Peter James Butler
selepas tumbang kepada Selangor pada final 2009
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eKt18GyI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan