ARKIB : 29/05/2011
KUALA LUMPUR - Kelantan berjaya merampas kedudukan
pendahulu Liga Super 2011 apabila berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas
Pahang manakala Terengganu gagal meneruskan rentak cemerlang turun ke tangga
kedua apabila tewas 0-1 di tempat sendiri, semalam.
Bagaimanapun saingan sengit terus berlaku di antara
tiga pasukan Kelantan, Terengganu dan Selangor tatkala saingan liga berbaki
tiga perlawanan.
Di Stadium Sultan Muhammed IV, ketua pasukan
Kelantan, Mohd. Badri Mohd. Radzi muncul wira selepas menjaringkan gol tunggal
pada minit kelapan seterusnya membantu pasukannya menerajui liga atas kelebihan
jaringan gol walaupun berkongsi 47 mata bersama Terengganu.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,
Terengganu gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila
tewas 0-1 kepada Kedah yang memperolehi jaringan melalui rembatan dari luar
petak penalti oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-42.
Di Stadium Shah Alam, Selangor kembali mendapat
semula rentak kemenangan apabila mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan
Fadzli Shaari pada minit ke-48 dan Rudie Ramli pada minit akhir perlawanan.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pasukan pelawat
tidak mempunyai masalah untuk menumbangkan Kuala Lumpur 2-1 dengan Azizan Baba
berjaya menyumbat dua gol pada minit kelapan dan 35 manakala gol sagu hati tuan
rumah disumbangkan oleh Khairul Anuar Shafie enam minit sebelum perlawanan
tamat.
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan bimbingan Norizan
Bakar berjaya meraih tiga mata apabila mengalahkan T-Team 2-0 hasil jaringan
Mohd. Syazwan Mohd. Roslan minit 45 dan Mohd. Shazuan Mohd. Ashraf Mathews
minit 87.
Perlawanan lain menyaksikan Perlis tewas 0-1 kepada
Felda United, manakala Harimau Muda berjaya menumbangkan Sabah 2-0.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eLQmtU61
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan