Jumaat, 10 Mac 2017

Giliran Kelantan buat kejutan

ARKIB : 28/08/2000
SAINGAN tampak terlalu awal untuk dibuat percaturan namun kejutan yang tercipta membayangkan aksi menarik daripada 16 pasukan sebaik berakhir perlawanan kedua Piala Malaysia kelmarin.

Di sebalik kemaraan juara Liga Perdana Satu, Selangor yang terus menguasai tangga teratas kumpulan A selepas menewaskan Melaka 3-2 di Stadium Shah Alam, peminat bola sepak tanah air sudah pasti dikejutkan dengan keupayaan Kelantan mengalahkan Pulau Pinang 3-0 dalam kumpulan B, di Stadium Bandaraya.

Walaupun bergelar juara Liga Perdana Dua, ramai yang tidak meletakkan harapan tinggi kepada Kelantan apabila bertandang ke Stadium Bandaraya untuk menghadapi naib juara Liga Perdana Satu dan Piala FA.

Bagaimanapun, kemampuan dibuktikannya kelmarin seharusnya mengundang rasa gerun lawan terhadap pasukan Liga Perdana Dua yang kini dapat menyaingi skuad daripada Liga Perdana Satu.

Selain Kelantan yang memungut mata penuh selepas seri dalam perlawanan terdahulu, Perlis turut mengukir kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur.

Kedudukan tersebut melegakan Perlis yang berjaya mengutip tiga mata berharga selepas hanya mencatat keputusan seri sewaktu perlawanan menentang Kelantan Selasa lalu.

Begitu juga dengan pasukan bertaraf kelab, Johor FC yang seri 1-1 dengan Terengganu dalam kumpulan C untuk kedua-dua pasukan mendahului lain-lain pasukan dalam kelompok tersebut walaupun Sarawak menang 3-1 ke atas Sabah.

Kelebihan pastinya kepada Terengganu dan Johor FC yang menang dalam perlawanan terdahulu berbanding Sarawak dan Sabah.

Dalam kumpulan D, Negeri Sembilan mendahului tangga teratas selepas menewakan Johor 1-0, diikuti Perak yang mengalahkan Kedah 2-0.

Pahang dalam kumpulan A menebus kembali kehampaan selepas dibelasah Selangor 1-5 Selasa lalu dengan bangkit mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Brunei.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4avBZJPNU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan