Ahad, 19 Mac 2017

Kelantan cipta sejarah

ARKIB : 21/10/2001
KELANTAN mengukir sejarah layak ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia buat pertama kali sejak 1970, selepas menyingkir juara liga, Pulau Pinang pada aksi suku akhir di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu, semalam.

Pasukan bimbingan K. Rajagopal itu mara ke peringkat terbaik itu menerusi kemenangan 5-4 dalam penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat agregat 2-2.

Aksi suku akhir kedua di Kota Bharu semalam berkesudahan seri 1-1. Pulau Pinang mendahului 1-0 minit ke-21 menerusi R. Suresh Kumar tetapi Kelantan bangkit pada babak kedua menyamakan kedudukan minit ke-82 menerusi Fatrurazi Rozi.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan dan kedua-dua pasukan turut gagal mencari gol emas pada 30 minit masa tambahan untuk memaksa sepakan penalti. Nazreen Tee Abdullah yang menjadi penendang terakhir berjaya menewaskan Kamarulzaman Hassan untuk membawa Kelantan ke separuh akhir Piala Malaysia buat pertama kali.

Kelantan akan bertemu Terengganu pada saingan separuh akhir, Selasa ini. Terengganu menang ke atas Selangor pada suku akhir manakala satu lagi separuh akhir ditentukan antara Perak dengan Pahang.

Perak semalam menumpaskan Negeri Sembilan manakala Pahang mengatasi Perlis.

Terengganu mengukir kejayaan manis di Stadium Shah Alam semalam apabila menang bergaya 3-1 ke atas Selangor dengan agregat 5-3.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada suku akhir pertama di Kuala Terengganu.

Kejayaan Terengganu sudah terbayang sedari awal apabila mendahului pasukan tuan rumah 3-0 sehingga minit ke-70 hasil jaringan Rosdi Talib minit ke-14 menerusi sepakan penalti.

Wan Rohaimi Ismail menambah sengsara Red Giants dengan gol kedua Terengganu minit ke-60 sebelum Subri Sulong terus meletakkan Terengganu dalam keadaan dengan jaringan ketiga minit ke-70.

Gol tunggal Selangor hanya hadir seminit sebelum tamat permainan menerusi sentuhan Rudie Ramli.

Pahang turut mengiringi Terengganu ke separuh akhir selepas menang agregat 4-3 ke atas Perlis di Stadium Utama, Kangar dengan gol kemenangan hadir menerusi jaringan emas.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi suku akhir pertama di Kuantan dan perlawanan di Kangar berkesudahan 2-2 dalam waktu permainan sebenar sebelum Jalaluddin Jaafar menjaringkan gol emas seawal minit kedua masa tambahan sudden-death.

Pahang mendahului 1-0 pada minit ke-18 menerusi jaringan Juzaili Samion tetapi Perlis menyamakan kedudukan minit ke-38 hasil jaringan Manzoor Azwira Abdul Wahid untuk menutup babak pertama di Kangar dengan 1-1.

Perlis bagaimanapun berjaya mendahului 2-1 hasil jaringan S. Paidiya Rau minit ke-71 tetapi Shahril Faizal memaksa perlawanan ditentukan ke masa tambahan apabila menyamakan kedudukan 2-2 pada minit terakhir sebelum Jalaluddin menjaringkan gol emas pada masa tambahan.

Di Stadium Perak, Ipoh, Norizam Ali Hassan menjaringkan hatrik untuk membantu juara bertahan, Perak layak ke separuh akhir menewaskan Negeri Sembilan 3-1 dan menang agregat 5-2.

Pasukan tuan rumah sebelum itu dikejutkan dengan jaringan pembukaan Negeri Sembilan oleh penyerang, Effendi Malek seawal minit keempat.

Begitupun, tiga sentuhan Norizam dalam tempoh 10 minit terakhir (minit ke-80, 88 dan 89) permainan meranapkan impian si Rusa untuk ke separuh akhir.
SUMBERPArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bm5FT6HF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan