ARKIB : 22/08/2001
KELANTAN mengesahkan tempat
ketiga dalam bola sepak Liga Perdana Satu selepas mencatat kemenangan 2-0 ke
atas Sarawak dalam aksi terakhir liga di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota
Bharu, semalam.
Kejayaan anak buah K. Rajagopal
itu membolehkan mereka merangkul habuan RM75,000 dan insentif RM20,000.
Sarawak biarpun tewas, menjadi
pasukan terakhir dari Perdana Satu layak ke pertandingan Piala Malaysia secara
automatik selepas Kuala Lumpur dan Melaka turut gagal dalam perlawanan terakhir
masing-masing.
Kuala Lumpur seri 3-3 dengan
Negeri Sembilan di Seremban manakala Melaka seri 1-1 dengan Selangor di Stadium
Kubu.
Begitupun, Kuala Lumpur dan
Melaka masih berpeluang ke Piala Malaysia tetapi perlu mengharungi playoff
bersama Johor dan pasukan tangga keempat hingga kesembilan dari Perdana Dua.
Dua gol berharga Kelantan
dijaringkan oleh Mohd. Hardi Ahmad minit ke-26 dan Annuar Abu Bakar (56).
Di Stadium Kubu, Mohd. Amri
Yahyah menjaringkan gol pembukaan Selangor minit ke-15 tetapi Aizal Lamin
menyamakan kedudukan untuk Melaka minit ke-56.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, Azrine Effandy menjaringkan dua gol minit ke-20 dan 60 dan K. Sathian
(70) menambah gol ketiga untuk pasukan tuan rumah tetapi Kuala Lumpur membalas
dengan tiga gol menerusi Liew Kim Tu (31) dan Zulkifli Affendy (87, 89).
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Pulau Pinang yang telah ditabal selaku juara
liga, menewaskan Terengganu 1-0 hasil jaringan Zailani Jaafar (10).
Perak dan Perlis sekadar
bermain untuk seri tanpa jaringan di Stadium Perak, Ipoh manakala Johor yang
tergelincir ke Perdana Dua musim depan, dibelasah Pahang 4-0 di Stadium Larkin,
Johor Bahru.
Gol-gol Pahang dijaringkan oleh
Jalaluddin Jaafar (41), Ahmad Shahruddin Rosdi (54, 63), Khairulnizam Haniff
(69).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bjYvGoIg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan