Sabtu, 11 Mac 2017

Kelantan hampiri aksi suku akhir

ARKIB : 06/09/2000
KELANTAN semakin menghampiri aksi suku akhir bola sepak Piala Malaysia dari kumpulan B, selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, kali ini menewaskan Perlis 2-0 di Stadium Utama, Kangar, semalam.

Kehebatan Kelantan musim ini begitu terserlah dengan langsung tidak menghiraukan kebimbangan beraksi di tempat lawan, sebaliknya gagah menyumbat gol pembukaan menerusi Che Ishammuddin Hassan minit ke-37 dan Annuar Abu Bakar minit ke-78.

Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan skuad Pantai Timur itu di tangga teratas kumpulan dengan 10 mata tetapi dicabar hebat Pulau Pinang yang turut meraih tiga mata selepas menundukkan Kuala Lumpur 2-0 di Cheras.

Kelantan kini tiga mata di depan Pulau Pinang dan hanya perlu memastikan kemenangan atau sekurang-kurangnya seri pada perlawanan seterusnya untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.

Gol pembukaan Kelantan hasil tendangan terus ke gawang Ishammuddin yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Perlis manakala Annuar hanya menyudahkan satu hantaran silang dari sebelah kanan gawang Perlis untuk gol kedua skuad Kijang.

Perlis berputih mata di hadapan penyokong sendiri walaupun pasukan tuan rumah menguasai sepanjang perlawanan namun Kelantan bijak mengambil kesempatan daripada kelalaian pertahanan Singa Utara untuk mencuri gol.

Perlis yang mengatur serangan bertubi-tubi sejak awal perlawanan untuk mencari gol semangat tetapi percubaan yang dilakukan oleh penyerangnya tidak menepati sasaran.

Rosmin Musa mendapat peluang terbaik untuk mendapatkan gol pertama Perlis apabila bola sepakan Mohd. Nazarudin Md. Zain muntah daripada tangkapan M. Shahrizan Ismail pada minit ke-2.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4b0M27JgX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan