Selasa, 21 Mac 2017

Layangan kad cemari pertemuan di Kota Bharu



ARKIB : 24/03/2002
PERAK terus memimpin persada bola sepak Liga Perdana Satu selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar, semalam.

Ia adalah kemenangan kelapan buat skuad Seladang selepas 10 perlawanan untuk mengumpul 24 mata, mengekalkan jurang dua mata dengan pencabar di tangga kedua, Selangor yang turut mencatat kemenangan di Shah Alam.

Gol kemenangan Perak dijaringkan oleh ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian pada minit ke-72.

Di Stadium Shah Alam, Selangor menang bergaya 3-1 ke atas pasukan kelab, NS Chempaka.

Pemain import, Selangor, Ivica Kulesevic menjaringkan gol pertamanya sejak hadir ke Shah Alam bulan lalu, dengan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-45.

Mohd. Amri Yahyah menggandakan jaringan sebaik babak kedua bermula tiga minit dan penyerang veteran, Azman Adnan melengkapkan gol ketiga minit ke-68.

Joseph Gisele Sigmon menjaringkan gol tunggal NS Chempaka pada minit ke-87.

Di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu, tuan rumah Kelantan yang bermain sepuluh orang pada babak kedua, diikat 1-1 oleh Pulau Pinang.

Mohd. Zaidi Mat Ail membuka jaringan Kelantan pada minit ke-32 tetapi selepas rehat, Fatrurazi Rozi dibuang padang pada minit ke-60 akibat menumbuk pemain Pulau Pinang, Yong Woon Seang.

Pulau Pinang mengambil kesempatan atas kepincangan Kelantan itu dengan jaringan penyamaan yang dihasilkan oleh Hasmawi Hassan pada minit ke-82.

Keputusan seri itu membolehkan skuad Harimau Kumbang kekal di tangga ketiga liga.

Persaingan dua pasukan Pantai Timur, Pahang dengan Terengganu di Stadium Darul Makmur, Kuantan memihak kepada pasukan pelawat yang menang 2-1.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi Azmani Abd. Kadir pada minit ke-15 tetapi Sapian Wahid menyamakan kedudukan minit ke-60.

Sapian sekali lagi menemui sentuhan gol pada minit ke-90 untuk memberi kemenangan kelima buat Terengganu.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan mencatat kekalahan ketujuh apabila tewas 1-0 kepada Melaka.

Nazrulerwan Makmor menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-25 untuk Melaka mencatat kelima dengan 16 mata.

Persaingan antara dua pasukan terbawah menyaksikan Sarawak mengatasi Kuala Lumpur 3-1 di Stadium KLFA, Cheras.

Gol Sarawak dijaringkan oleh Dahlan Matussin (25), Ramos Sari (51) dan Ramles Sari (72) sebelum penyerang Kuala Lumpur, Mohd. Farid Dewan menjaringkan gol saguhati pada minit ke-89.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4byHo0H3w© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan