ARKIB : 04/09/2000
PEMAIN Pulau Pinang, Hasmawi Hassan
(terbaring) cuba menyekat kemaraan pemain Perlis, Hairil Zambri Abdul Rashid
pada perlawanan bola sepak kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar,
kelmarin. Pulau Pinang menang 2-1.
JIKA bersandarkan saingan kelmarin,
tumpuan sudah pasti kepada empat skuad handalan yang menjadi pendahulu kumpulan
tetapi kebangkitan beberapa pasukan menambahkan kegetiran aksi Piala Malaysia
musim 2000.
Tanpa kelibat Selangor, pendahulu
kumpulan A (6 mata) yang tidak beraksi kelmarin, Pahang hanya mampu mengutip
satu mata selepas seri 1-1 dengan Melaka tetapi mendudukki tangga kedua dengan
mengumpul keseluruhan 4 mata berbanding skuad Kancil di tangga ketiga (2 mata).
Bagaimanapun, berbanding Melaka, sebuah
lagi pasukan Liga Perdana Dua iaitu Kelantan terus diberi tumpuan ramai selepas
mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur untuk menjadi pendahulu kumpulan B
dengan mengumpul 7 mata.
Sementara, Perlis hanya menduduki
tangga kedua kumpulan B berdasarkan kiraan jaringan selepas berkongsi 4 mata
dengan Pulau Pinang, gara-gara kalah tipis 1-2 kepada skuad Harimau Kumbang itu
di gelanggang sendiri, Stadium Utama, Kangar.
Kemenangan Pulau Pinang membuka kembali
ruang lebih luas kepada skuad Harimau Kumbang untuk terus bersaing dalam
kumpulan tersebut setelah mengalami kekalahan 0-3 kepada Kelantan sebelum ini.
Dalam kumpulan C pula, Sarawak menjadi
pendahulu dengan 6 mata di hadapan setelah beraksi cemerlang sebelum menewaskan
Johor FC 2-0.
Walaupun tewas, Johor FC mempunyai peluang
kerana mempunyai persamaan 4 mata dengan Terengganu walaupun berada satu anak
tangga di belakang skuad Penyu yang menduduki tempat kedua berdasarkan kiraan
jaringan.
Terengganu gagal melebarkan jurang
selepas tewas mengejut 0-2 kepada Sabah di Stadium Likas.
Negeri Sembilan meneruskan kemenangan
kali ketiga berturut-turut selepas membelasah Kedah 4-0 untuk mengungguli
tangga pertama kumpulan D dengan mengutip keseluruhan 9 mata. Ini diekori rapat
oleh Perak, pasukan tangga kedua (7 mata) yang menewaskan Johor 3-2, pasukan
selatan tanah air senasib Kedah kerana hanya mampu satu mata setakat ini.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4aytk891p
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan