Ahad, 19 Mac 2017

Kelantan bentuk skuad lebih mantap

ARKIB : 24/11/2001
JURULATIH Kelantan, K. Rajagopal berjanji akan membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap berbanding pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir bola sepak Piala Malaysia musim ini.

Beliau yakin hasratnya itu akan tercapai dengan komitmen tinggi para pemain dan sokongan berterusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

``Saya percaya dengan kombinasi pemain yang dikekalkan untuk musim depan dan pemain baru kita dapat membentuk pasukan yang lebih baik musim depan,'' katanya di Kota Bharu, semalam.

Kelmarin, bekas jurulatih itu menyatakan persetujuannya kepada pengurusan KAFA untuk terus menabur khidmat untuk pasukan bola sepak negeri itu untuk tempoh setahun lagi.

Menurut Rajagopal, pemain-pemain akan menjalani latihan pada mulai Isnin ini di Padang Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.

Katanya, lima belas pemain yang dikekalkan musim depan termasuk bekas pemain Perlis musim lalu, Rozmin Musa dan Zaidi Mat Ail akan turut serta dalam latihan tersebut.

Di samping itu, katanya, turut sama menjalani latihan kelak ialah bekas pemain pertahanan Melaka, Khairul Azuar Kamiron dan juga dua pemain kebangsaan Thailand.

Sebelum ini Kelantan menggugurkan Anuar Abu Bakar, Nik Ahmad Fadli Nik Leh, Baharuddin Ali, Roslisham Mohd Noor, Nik Musanif Nik Kob, Ahmad Redzuan Hussein dan Armin Shariff atas faktor kecederaan dan persembahan hambar.

Mengenai kontrak baru dengan KAFA, Rajagopal memberitahu beliau berpuas hati dengan butir-butir kontrak yang ditawarkan kepadanya.

``Saya menghargai kepercayaan KAFA untuk meneruskan khidmat di sini dan sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik untuk peminat bolasepak Kelantan,'' ujarnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Kelantan yang telah memberikan sokongan padu kepada pasukan bimbingannya pada musim lalu.

Katanya, sokongan tersebut akan merangsang semangatnya untuk terus berbakti bagi memastikan imej dan mutu bolasepak Kelantan dapat ditingkatkan lagi di masa depan



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bpVGyeSp

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan