Jumaat, 24 Mac 2017

Kelantan sedia gempur Selangor



ARKIB : 10/08/2002
WALAUPUN dihimpit masalah pengurusan dalam persatuan serta tanpa kehadiran jurulatih K. Rajagopal, kesebelasan utama Kelantan kini sedia menggempur Selangor dalam perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia di stadium Sultan Mohammed IV hari ini, lapor ZAIDI AWANG HAMAT.

Setelah berjaya memungut tiga mata ketika menewaskan Perlis 3-2 di gelanggang lawan sebelum ini, Kelantan berazam mencatatkan kemenangan kedua di tempat sendiri untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan.

Pasukan Kijang kini berada di tangga ketiga dengan tiga mata dalam kumpulan C yang turut disertai Selangor, Perlis dan Selangor Public Bank.

Penolong Pengurus Kelantan, Affandi Hamzah berkata, kesebelasan pemain Kelantan kini begitu bersemangat dan bersedia untuk perlawanan bertemu Selangor nanti.

Katanya, para pemain mahu membuktikan pasukan Kelantan bukanlah pasukan yang lemah walaupun gagal menampilkan prestasi baik dalam liga Perdana Satu sebelum ini.

``Kemenangan keatas Perlis sebelum ini juga menjadi pencetus semangat pemain untuk mengalahkan Selangor di hadapan penonton sendiri ,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Dalam pada itu Affandi tidak menolak faktor kemasukan pemain kelahiran Kelantan yang beraksi di Negeri Sembilan, Zami Mohd Nor dan juga A Elanggo turut mendorong pemain lain beraksi lebih cemerlang.

Menurutnya, walaupun didapati kurang persefahaman dalam perlawanan pertama bertemu Selangor Public Bank, namun ianya mula meningkat ketika bertemu Perlis.

Beliau yakin persefahaman itu akan memuncak ketika bertemu Selangor nanti setelah mereka memahami corak permainan masing-masing.

Sehubungan itu beliau mahukan para penyokong setia Kelantan datang untuk memberi sokongan kepada pasukan itu dalam pertemuan dengan Selangor malam ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cFWIMySC© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan