Jumaat, 24 Mac 2017

Rajagopal letak jawatan jurulatih Kelantan



ARKIB : 17/07/2002

JURULATIH K. Rajagopal membuat kejutan apabila mengumumkan meninggalkan pasukan Kelantan, yang dibimbingnya sejak musim lepas.

Katanya, keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada jurulatih lain.

``Saya tiada perasaan tidak puas hati. Keputusan saya muktamad dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

``Cuma saya tiada jodoh lagi bersama pasukan Kelantan,'' katanya.

Menurutnya keputusan itu telah dipersetujui oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) melalui rundingan secara aman dan profesional malam semalam.

Keputusan Rajagopal itu menyaksikan berulangnya sejarah bola sepak Kelantan apabila banyak jurulatih luar yang mengendalikan pasukan itu meletak jawatan atau disingkirkan pada pertengahan musim atas pelbagai alasan termasuk prestasi pasukan tidak memuaskan.

Persembahan Kelantan pada aksi pusingan pertama Liga Perdana memang membanggakan apabila menduduki senarai tiga pasukan teratas, tetapi mula merosot pada pusingan kedua, dan berakhir di tangga kesepuluh daripada 14 pasukan.

Rajagopal, bekas pemain kebangsaan dan bekas jurulatih Selangor, mula berkhidmat dengan Kelantan musim lepas (2001) dan berjaya menaikkan imej Kelantan dengan layak ke Perdana Satu.

Rajagopal mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada peminat bola sepak Kelantan serta pihak pengurusan Kafa, yang memberikan kerjasama dalam merealisasikan harapan Kelantan untuk layak ke Piala Malaysia musim lepas dan juga musim ini.

Beliau meminta pemain Kelantan beraksi bersungguh-sungguh bagi memastikan Kelantan terus maju dan mencipta kejutan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

``Buat masa ini saya akan berehat bersama keluarga dan akan mengikuti perkembangan bola sepak Kelantan dari jauh,'' katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui bola sepak telah ``menjadi darah dagingnya'' dan bersedia melatih mana-mana pasukan yang berminat mendapat khidmatnya.

``Mana-mana negeri yang ingin mendapatkan khidmat saya sebagai jurulatih boleh menghubungi saya untuk perbincangan lanjut,'' katanya.

Sementara itu, jurucakap Kafa ketika dihubungi enggan mengulas tindakan Rajagopal meletakkan jawatan.

Katanya pihak pengurusan sedang berusaha mendapatkan jurulatih baru bagi membimbing Kelantan dalam kempen Piala Malaysia.

Dalam pada itu, peminat bola sepak Kelantan terkilan dengan keputusan jurulatih itu.

Seorang peminat, Rusli Mat berkata mungkin ada sesuatu yang tidak kena menyebabkan Rajagopal meninggalkan Kelantan.

``Kita minta Kafa mendapatkan semula khidmat Rajagopal kerana Kelantan masih memerlukannya,'' katanya.

Menurutnya walaupun Kelantan mempunyai banyak jurulatih yang berkaliber, tetapi keupayaan mereka tidak sama dengan jurulatih luar kerana kebanyakan kejayaan yang dicipta Kelantan adalah hasil bimbingan dari jurulatih luar. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cEVm6DM8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan