Khamis, 23 Mac 2017

Kelantan anggap menang lebih penting



ARKIB : 15/04/2002
BIARPUN gagal menampilkan corak permainan menarik, namun kejayaan mengatasi Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Sultan Mohd. IV kelmarin merupakan kemenangan amat penting bagi skuad Kelantan.

Pengurus Pasukan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud berkata, kejayaan mengutip tiga mata penuh itu boleh menjadi pencetus semangat untuk mengharungi cabaran perlawanan pusingan kedua ini.

Katanya, kemenangan itu penting kerana sudah menjadi kelaziman mana-mana pasukan akan memperbaiki setiap kelemahan yang dikesan semasa perlawanan pusingan pertama dahulu dan saingan menjadi lebih sengit.

``Kita berpuas hati dengan kejayaan malam tadi, walaupun secara keseluruhannya kita tidak memperlihatkan corak permainan sebenar,'' katanya kepada Sukan Utusan selepas perlawanan bertemu Kuala Lumpur malam semalam.

Kelantan meperoleh gol pertama melalui jaringan sendiri pemain Kuala Lumpur, Roslisham Mohd. Nor pada minit 63 sebelum penyerang import Worrawoot Sri Maka menambahkan jaringan pada minit ke 67.

Kuala Lumpur memperolehi gol tunggal melalui tendangan penalti Roslisham Mohd Nor pada minit ke 89 setelah kekasaran berlaku di dalam kotak penalti sebelumnya.

Kelantan memulakan saingan pusingan kedua dengan berada di tangga ke enam di belakang Perlis setelah mengumpul 22 mata dari 14 perlawanan.

Wan Hashim berkata, sebenarnya Kelantan mampu untuk menambahkan jaringan malam semalam jika penyerang pasukan itu pandai memanfaatkan setiap peluang yang ada di hadapan gol.

Bagaimanapun katanya, beberapa peluang keemasan itu terbiar begitu sahaja sama ada akibat kegopohan pemain mahupun lebih suka bertindak sendirian.

``Para penyerang Kelantan haruslah lebih bijak lagi untuk mencipta jaringan apabila memperoleh peluang berbuat demikian,'' katanya.

Namun demikian beliau yakin, persembahan pasukan Kelantan akan terus meningkat dalam beberapa perlawanan berikutnya untuk merebut kedudukan terbaik Liga Perdana Satu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4c8TOVbHM© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan