Isnin, 6 Mac 2017

Kelantan, Melaka tempah tempat ke Piala Malaysia

ARKIB : 22/07/2000
PENDAHULU liga, Kelantan menumpaskan Johor FC 1-0 pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Pasir Gudang semalam untuk menempah tempat secara automatik ke Piala Malaysia musim ini.

Melaka turut mengiringi Kelantan ke Piala Malaysia selepas skuad Kancil mengatasi TNB Kelantan 3-1 di Stadium Kubu.

Manakala Kedah terpaksa menunggu perlawanan terakhir minggu depan selepas tewas mengejut 1-0 di tempat sendiri kepada Telekom Melaka.

Kedah kini di tangga ketiga liga dan terpaksa berentap dengan pasukan tangga keempat, JKR Kelantan yang mencatat seri 2-2 dengan KL Malay Mail untuk menghidupkan peluangnya ke Piala Malaysia.

Hanya tiga pasukan teratas Perdana Dua layak secara automatik ke Piala Malaysia manakala lima pasukan lagi terpaksa mengharungi play-off dengan tiga pasukan Perdana Satu untuk ke Piala Malaysia.

Kelantan mengekalkan kedudukan di tangga teratas dengan 33 mata, sekali gus mencerahkan peluang untuk merampas mahkota juara Perdana Dua buat pertama kali.

Kemenangan itu juga menjamin skuad Kijang melonjak ke Perdana Satu musim depan.

Gol tunggal Kelantan dijaringkan pada minit ke-77 melalui Annuar Abu Bakar.

Di Stadium Kubu, Melaka menewaskan TNB Kelantan 3-1 tetapi harus berterima kasih kepada KL Malay Mail yang mengikat pasukan pantai timur di Kota Bharu untuk melayakkan Kancil ke Piala Malaysia.

Gol sulung tuan rumah diperoleh pada minit ke-25 menerusi bola rembatan ketua pasukan, S. Arumugam dan tuan rumah memperoleh gol kedua menerusi tandukan Mohd. Rizaludin Ghani.

TNB Kelantan merapatkan kedudukan menerusi Zainuddin Ariffin minit ke-55 sebelum Melaka menambah jaringan sepuluh minit kemudian untuk meletakkan Melaka di depan dengan 3-1.

Impian Kedah untuk menempah tempat ke Perdana Satu musim depan semakin pudar selepas diaibkan 1-0 oleh Telekom Melaka di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol tunggal Telekom Melaka dijaringkan oleh G. Rameswaran pada separuh masa pertama di minit ke-33.

Aksi bertahan Kedah akhirnya dihukum oleh penyerang Telekom Melaka, G. Rameswaran yang berjaya memecah tembok kebal tuan rumah menerusi satu rembatan kencang pada minit ke-33 selepas mendapat tolakan dari Chong Chee Wai.

Di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bharu, tuan rumah, JKR Kelantan hanya mampu seri 2-2 dengan KL Malay Mail yang menyukarkan peluangnya untuk merebut tempat ke Piala Malaysia.

Tuan rumah berusaha keras mencari kemenangan dan berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama melalui jaringan Rosli Rejab minit ke-12.

KL Malay Mail menyamakan kedudukan melalui tandukan Mohamad Sham Mohd. Nor minit ke-47.

Pasukan pelawat menambah jaringan melalui pemain gantian, K. Maniyalagan minit ke-84 tetapi JKR menyamakan kedudukan melalui Cik Hishamuddin Hassan minit ke-89.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, NS Chempaka terus dirundung malang di tempat sendiri apabila tewas 1-0 kepada Tentera.

Jaringan pemain Tentera, Mohd. Zaid Hashim minit ke-64 sudah cukup meleburkan hajat tuan rumah.

Tentera yang melihat tuan rumah melancarkan serangan-serangan berbahaya terus mengukuhkan barisan pertahanannya dan berjaya mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga permainan tamat.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4aYT8S4wr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan