Ahad, 19 Mac 2017

Kelantan intai ke suku akhir

ARKIB : 02/10/2001
KELANTAN....4 NS Chempaka....1

KELANTAN menghidupkan peluangnya yang tipis untuk mengintai tempat ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia dengan mengejutkan pendahulu kumpulan B, NS Chempaka menerusi kemenangan 4-1 di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu semalam.

Mohd. Hardi Ahmad mencipta rekod jaringan terpantas seawal 45 saat permainan berlangsung untuk membolehkan Kelantan mendahului 1-0.

Hardi yang menerima bola hantaran Tuan Rosli Tuan Shaari selepas sepak mula terus merembat kencang ke gawang NS Chempaka yang dikawal oleh S. Ragesh.

Kelantan beraksi dengan penuh yakin diawal permainan dan kejutan itu disusuli dengan gol kedua menerusi tendangan percuma Rezal Zambri Yahya pada minit keempat selepas Fatrurazi Rozi dijatuhkan diluar kotak penalti.

Begitupun NS Chempaka merapatkan jurang menerusi tendangan penalti yang disempurnakan oleh V. Thinagaran pada minit ke-24. Tendangan itu diperoleh selepas penyerang NS Chempaka, R. Manivaram dijatuhkan dalam petak penalti.

Kelantan terus mengasak ke kubu NS Chempaka dan memperoleh gol ketiga sekali lagi menerusi Mohd. Hardi pada minit ke-42 selepas menerima hantaran Azman Yusof dari sebelah kanan pintu gol NS Chempaka.

Babak pertama berakhir dengan Kelantan mendahului 3-1.

Pada babak kedua, Kelantan meneruskan penguasaan dan berjaya menambah gol keempat melalui jaringan Annuar Abu Bakar pada minit ke-54 sekali lagi hasil hantaran Azman. Dalam pertemuan pertama di Seremban sebelum ini, NS Chempaka menewaskan Kelantan 1-0.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bl29tKKb
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan :

Catat Ulasan