Ahad, 19 Mac 2017

Pertemuan hidup mati

ARKIB : 08/10/2001
KELANTAN akan membariskan barisan terbaik ketika menentang Pahang pada perlawanan yang disifatkan cukup penting kepada pasukan itu bagi memastikan layak ke peringkat suku akhir bola sepak Piala Malaysia.

Jurulatih Kelantan, K. Rajagopal yang menyifatkan perlawanan itu sukar kerana pasukannya akan bertandang ke tempat lawan, bagaimanapun yakin peluang untuk mencatat kemenangan 50-50.

Justeru katanya, beliau akan cuba mengatur dan meneliti formasi sesuai untuk menentang Pahang, pendahulu kumpulan B, yang sudah pastinya inginkan kemenangan untuk menjamin tempat mara ke suku akhir.

``Boleh dikatakan perlawanan menentang Pahang merupakan permainan lebih hebat, lebih sukar kerana kita (Kelantan) bermain di tempat lawan.

``Saya akan tengok apa (strategi) yang sesuai kerana kita bermain di tempat lawan dan memerlukan kemenangan, dalam penyenaraian pemain terbaik dalam tiap posisi,'' katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Sarawak di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV Kota Bharu, kelmarin.

Dalam perlawanan itu Kelantan menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir apabila menundukkan Sarawak dengan kemenangan bergaya 3-1.

Sebelum ini pasukan kijang itu mengatasi NS Chempaka dengan 4-1.

Selepas lima perlawanan, Kelantan kini menduduki tangga kedua dengan kelebihan dalam jumlah jaringan berkongsi tujuh mata dengan NS Chempaka yang mengekang kemaraan Pahang dalam perlawanan kelmarin.

Justeru perlawanan menentang Pahang merupakan penentuan `hidup atau mati' pasukan Kelantan dan ia perlu mencatat kemenangan jika masih bercita-cita untuk mara ke suku akhir.

Situasi serupa sebenarnya dihadapi oleh NS Chempaka yang ketika ini menduduki tempat ketiga kumpulan, yang akan menentang Sarawak dalam perlawanan terakhir mereka.

Apa yang pasti, persaingan dalam kumpulan B pasti menarik kerana Pahang, Kelantan dan NS Chempaka masih berpeluang ke suku akhir, dan perlawanan terakhir menjadi penentu tuah masing-masing.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4blHD7vVM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan