Selasa, 21 Mac 2017

Kelantan tidak mahu gelaran `jaguh kampung'



ARKIB : 18/02/2002
Oleh: YULPISMAN ASLI
JURULATIH Kelantan, K. Rajagopal menolak anggapan bahawa anak buahnya hanya `jaguh' di gelanggang sendiri, sebaliknya berkata jika pemain bermain lebih agresif dan berdisiplin Kelantan boleh mencapai keputusan positif di tempat lawan.

Malah beliau menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Pahang dalam persaingan Liga Perdana Satu di gelanggang sendiri kelmarin diperoleh hasil percaturan yang menjadi iaitu menurunkan semua penyerang yang ada di samping bermain secara lebih agresif.

``Bukan cara kita nak mendapat kemenangan di tempat sendiri,'' katanya semalam.

Menurut Rajagopal, setelah tewas dua kali dan hanya mencatat satu kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini, rata-rata pemain Kelantan lebih agresif untuk mendapatkan semula semangat lama Kelantan dengan bermain secara menyerang untuk mencatat kemenangan.

``Hasilnya usaha dan percaturan yang dibuat menjadi,'' katanya.

Selepas empat perlawanan, Kelantan mencatat dua kemenangan - kedua-duanya di gelanggang sendiri, ke atas Perlis dan Pahang dengan jaringan 2-1 tetapi kalah dalam dua pertemuan di tempat lawan iaitu Melaka (0-3) dan NS Chempaka dengan keputusan sama.

Kelantan kini berada di tangga kelapan, berkongsi enam mata dengan NS Chempaka dan Selangor, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu liga, Perlis dan Perak.

Ketika mengulas perkara itu, Rajagopal berkata, peminat tidak boleh meramal setiap keputusan perlawanan, tambahan pula saingan liga masih awal dan apa-apa keputusan boleh berlaku.

Untuk perlawanan berikutnya, beliau berkata, skuad Kijang akan berkunjung ke Kota Kinabalu untuk berdepan dengan pasukan tuan rumah Sabah yang kini berkedudukan di tangga ketiga liga.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pemain meningkatkan disiplin dan melaksanakan segala tugas yang diamanahkan untuk menghadapi saingan pasukan lawan.

``Apabila diberi tugas, amalkan dan laksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bwauJP3W
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan