Ahad, 19 Mac 2017

Kelantan berusaha dapat penyerang Slovakia

RKIB : 02/01/2002
KELANTAN sedang berunding untuk mendapatkan khidmat penyerang berbisa dari Slovakia bagi mengepalai jentera penggempur pasukan itu dalam saingan Perdana Satu musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud berkata, jika segala-galanya berjalan lancar, pemain tersebut dijangka tiba di Kelantan dalam tempoh dua minggu ini.

Katanya, urusan pengambilan pemain tersebut dibuat melalui bekas seorang pemain import sebuah pasukan negeri di Pantai Timur.

``Jika tidak ada masalah, pemain itu akan tiba di negeri ini tidak lama lagi untuk menjalani latihan dan pemilihan,'' katanya kepada Sukan Utusan semalam.

Hari ini, Kelantan hampir pasti mengikat pemain import dari Thailand, Syed Bukhari, 26 tahun bagi menguatkan barisan tengahnya musim depan.

Syed yang pernah beraksi di beberapa buah kelab ternama di Bangkok itu telah memperlihatkan permainan bermutu semasa perlawanan persahabatan menentang sebuah kelab Thailand di Kota Bharu, kelmarin.

Wan Hashim berkata, jika bersesuaian dengan kehendak pengurusan dan jurulatih, pemain tersebut akan melengkapkan senarai pemain serangan Kelantan bersama Fatrorazi Rozi dan Mohd. Hardi Ahmad.

Sebelum ini barisan serangan Kelantan terjejas dengan ketiadaan bekas penyerang kebangsaan, Anuar Abu Bakar yang berhijrah ke Pulau Pinang musim depan.

Ini dapat dilihat dalam perlawanan persahabatan malam semalam di mana Hardi dan Fatrorazi dilihat agak gugup dalam pergerakan mereka tanpa sokongan Anuar yang lebih berpengalaman.

``Kita harap dengan penyertaan pemain dari Slovakia nanti, dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk memberi cabaran dalam Perdana Satu musim depan,'' katanya.

Ditanya mengenai kontrak pemain dan jurulatih, Wan Hashim memberitahu majlis menandatangani kontrak dijangka dibuat selepas kejohanan empat penjuru di Kota Bharu pada 11 hingga 13 Januari depan.

Pasukan yang mengambil bahagian adalah Negeri Sembilan, Perlis, Surat Thani (Thailand) dan Kelantan selaku tuan rumah
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bqJWdiMP

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan