Sabtu, 11 Mac 2017

Kelantan tak gentar hadapi NS

ARKIB : 22/09/2000
KELANTAN tidak bimbang dengan kehebatan Negeri Sembilan meskipun terpaksa mengharungi cabaran di gelanggang lawan apabila berlangsungnya perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Paroi, esok, lapor SAROJI MOKHTAR.

Jurulatih, Abdul Rahim Ahmad menyifatkan rekod cemerlang Kelantan yang tidak pernah tewas di gelanggang lawan pada peringkat kumpulan sebelum ini menjadi bekalan utama pasukan itu.

Beliau mengakui skuad Rusa menjadi salah satu pasukan pilihan tetapi ia bukan alasan untuk kesebelasan Kijang merasa rendah diri ketika memberikan saingan.

''Kita bersedia membuat perhitungan dan memastikan kemenangan di Paroi sebelum menunggu kedatangan mereka di Stadium Sultan Mohd ke IV pada pertemuan kedua nanti,'' katanya kepada Sukan Utusan di Kota Bharu, semalam.

Dalam kumpulan B, Kelantan menduduki tangga kedua di belakang Pulau Pinang setelah mengutip 11 mata daripada enam perlawanan.

''Kami sedar akan kehebatan Negeri Sembilan tetapi pasukan ini sudah mengenal pasti setiap kelemahan yang lalu,'' tegasnya.

''Kami mahu para pemain khususnya di bahagian serangan, melakukan penyudah dengan kemas dalam usaha mencari bekalan terbaik sebelum bertemu dalam perlawanan kedua.''

Ditanya mengenai peluang untuk memenangi perlawanan menentang Negeri Sembilan, beliau berkata, Kelantan tetap mempunyai peluang yang cerah jika para pemain dapat mengekalkan prestasi yang dipamerkan sebelum ini.

Dengan hanya menjaringkan satu gol dalam dua pertemuan terakhir peringkat kumpulan sebelum ini, ia menjadi pengajaran berguna kepada para pemain.

Katanya lagi, Kelantan akan melakukan sedikit rombakan di barisan serangan yang dilihat kurang menyerlah.

Sebelum ini, jentera serangan Kelantan dibarisi Cik Hishamudin Hassan, Mohd Hardi Ahmad dan ZoolIhsan Yunus dengan dibantu Tengku Hazman Raja Hassan dan Nik Ahmad Fadly di bahagian tengah.

Sementara itu, selain pertemuan Kelantan dan Negeri Sembilan, tiga lagi perlawanan suku akhir berlangsung esok.

Selangor menanti kehadiran Johor FC di Stadium Shah Alam, Pulau Pinang menentang Perak di Stadium Bandaraya dan Sarawak bertemu Melaka di Stadium Sarawak.

Pusingan kedua akan berlangsung pada 26 September bagi menentukan empat pasukan ke separuh akhir yang akan bermula pada 3 dan 7 Oktober depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b1IOK6hV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan