ARKIB : 12/07/2000
JKR KELANTAN menundukkan
pendahulu, Kelantan 3-0 pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium
Sultan Mohamed ke-IV di Kota Bharu, semalam.
Dengan keputusan itu, Kelantan
jatuh ke tangga kedua liga yang diambil alih oleh Melaka yang menang 4-1 di
Stadium Kubu.
Dua jaringan menerusi ketua
pasukan JKR Kelantan, Roslan Hassan nyata membawa kesan positif kepada
permainan pasukan tuan rumah itu yang berjaya bertahan dari asakan-asakan
Kelantan yang cuba bangkit pada separuh kedua.
JKR Kelantan bertindak garang
sebaik wisel pertama ditiupkan dan Roslan yang mendapat peluang di hadapan
pintu gol tidak mensia-siakan untuk menghasilkan gol pada seawal minit pertama.
Kelantan terus dihukum apabila
Roslan sekali lagi bertindak cemerlang dengan menghasilkan gol kedua apabila
menolak masuk bola setelah berlaku perebutan di hadapan pintu gol lawan pada
minit ke-24.
Bekas penyerang kebangsaan,
Hashim Mustapha menambah sengsara Kelantan apabila menambah gol ketiga pada
minit ke-28 hasil sepakan percuma dari sebelah kanan pintu gol.
Kelantan yang ketinggalan cuba
bangkit dengan asakan bertali arus, tetapi beberapa percubaan penyerangnya
tersasar termasuk tandukan Mohd. Hardi Ahmad pada minit ke-40 yang terkena
palang.
Usaha Kelantan akhirnya berjaya
mendapatkan gol saguhati pada minit ke-60 hasil jaringan bekas pemain Johor,
Anuar Abu Bakar.
Sementara itu, nasib
menyebelahi TNB Kelantan apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas KL Malay
Mail di Stadium KLFA, Cheras.
Jaringan tunggal Zakri Bidi
pada minit ke-69 sudah cukup buat pasukan pelawat mencatat kemenangan kelima
daripada 15 perlawanan sekali gus melonjak ke tangga kelima liga.
KL Malay Mail harus
mempersalahkan diri sendiri ekoran gagal mengutip mata penuh di gelanggang
sendiri setelah menguasai hampir kesemua babak perlawanan tetapi dikecewakan
ekoran tindakan penyudah yang tidak sempurna.
Zakri menghukum kelalaian
pertahanan tuan rumah apabila mudah menewaskan penjaga gol M. Pavalamani dari
jarak dekat dengan rembatan leret yang kencang setelah menerima hantaran
lambung dari tengah padang.
Kekalahan itu juga menyebabkan
KL Malay Mail merosot ke tangga kedua tercorot dengan perbezaan satu mata di
atas Telekom Melaka pada ketika perlawanan liga berbaki tiga perlawanan sahaja
lagi.
Sementara itu, Brunei hanya
seri 2-2 dengan Perlis walaupun mendahului 2-0 pada perlawanan Perdana Satu di
Stadium Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan.
Tuan rumah yang berhajat
memperbaiki kedudukan di tangga tercorot liga, memulakan permainan dengan baik
apabila mendahului menerusi jaringan Awangku Sallehuddin pada minit ke-37 dan
Abang Norsilmmy Taha dua minit kemudian.
Namun, Perlis yang tidak patah
semangat terus berjuang untuk menghasilkan gol pada babak kedua dan tanda-tanda
kebangkitan skuad Singa Utara bermula apabila G. Shanmugam merapatkan jurang
gol menerusi jaringan pada minit ke-76.
Jaringan semangat itu menambah
garang Perlis yang berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-90 menerusi
percubaan Farouk Ismail pada minit ke-90.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4aO8M2VgA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan