Ahad, 19 Mac 2017

Khairul tolak tawaran Kelantan

ARKIB : 27/11/2001
HASRAT Kelantan untuk mendapatkan khidmat pertahanan tinggi lampai Melaka musim lalu, Khairul Azuar Kamiron berkecai apabila pemain itu menarik diri pada saat-saat akhir.

Jurulatih bola sepak Kelantan, K. Rajagopal berkata, pemain berkenaan telah memaklumkan perkara itu kepadanya dengan memberi alasan masalah keluarga.

Menurut beliau, mulanya pemain itu menyatakan kesediaan untuk bersama pasukan ini. Malah dia dijangka turun ke padang berlatih bersama para pemain lain hari ini.

``Memang tidak dinafikan kita amat memerlukan pemain pertahanan seperti Khairul untuk mengemudi barisan pertahanan. Namun apa boleh buat, hasrat kita tidak tercapai,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan, semalam.

Sebelum ini Khairul bersama bekas pemain Perlis, Rozmin Musa dan Zaidi Mat Ail dijangka menyertai latihan petang semalam bersama 12 pemain musim lalu yang dikekalkan tahun depan.

Mengenai latihan semalam, Rajagopal menjelaskan pada bulan puasa ini, para pemain hanya menjalani latihan ringan untuk melihat sejauh mana tahap kecergasan mereka selepas aksi terakhir dalam Piala Malaysia.

Katanya lagi, latihan ringan ini akan berakhir sebelum Hari Raya Puasa dan akan disambung dengan fasa kedua yang lebih intensif.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bpWnYllc

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan