Jumaat, 10 Mac 2017

Kelantan buat rombakan

ARKIB : 24/08/2000
KELANTAN akan melakukan perbincangan bagi mencari punca pasukan itu gagal mengutip mata penuh ketika berdepan Perlis dalam kempen pertama Piala Malaysia, di Kota Bharu kelmarin, MEOR HARMAN SHAKRI melaporkan.

Meskipun tuan rumah lebih menguasai permainan sehingga wisel penamat dibunyikan namun kepincangan penyudah yang baik telah menyebabkan hasrat bagi mencari kemenangan pertama terbantut.

Kesannya, Kelantan akan berdepan dengan laluan sukar apabila bertindak sebagai pasukan pelawat bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya bagi perlawanan seterusnya selepas ini.

Biarpun menyedari persaingan sengit selepas ini, jurulatih Abdul Rahim Ahmad dijangka melakukan sedikit rombakan kecil khususnya di bahagian serangan untuk membolehkan penyerang Anuar Abu Bakar bergandingan dengan Cik Hisamuddin Hassan.

Rahim berkata, gandingan baru tersebut dijangka menjadi titik tolak kepada menghapuskan badi mencari gol apabila pasukan itu bertandang ke Stadium Bandaraya, selepas ini.

Beliau berkata, tuan rumah sepatutnya boleh mencipta banyak jaringan ketika bertemu Singa Utara kelmarin namun kesukaran pemain menyerap tekanan daripada penyokong sendiri menyebabkan mereka gugup setiap kali memperoleh peluang.

Justeru beliau akan memberikan penekanan dalam latihan selepas ini bagi mempertajamkan lagi gerakan penyudah agar kesilapan tidak berulang ketika bertemu harimau kumbang.

Bertemu dengan Pulau Pinang selaku naib juara Liga Perdana Satu dan Piala FA tidaklah sesukar seperti diramalkan kerana berdasarkan persembahan kelmarin pasukan itu sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur meskipun bermain di gelanggang sendiri.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4av3mmK6Z © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan