Jumaat, 10 Mac 2017

Kelantan tidak mahu sekadar kuat semangat

ARKIB : 31/08/2000
KELANTAN tidak rela lagi bergantung kepada kekuatan semangat dalam usahanya memasang impian untuk sekurang-kurangnya boleh merobek tembok separuh akhir Piala Malaysia pada musim ini.

Kemenangan mengatasi Pulau Pinang 3-0 di tempat lawan dan seri tanpa jaringan menentang Perlis baru-baru ini dianggap tuah yang berbekalkan semangat juang yang tinggi semata-mata.

Perkara ini sendiri diakui oleh Pengurus Pasukan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mahu para pemain meningkatkan kerja berpasukan di samping memperbaiki masalah kecergasan.

Wan Hashim berkata, beliau sendiri menjangkakan Kelantan akan mencatat keputusan seri ketika menentang Pulau Pinang tetapi mereka telah membuktikan hingga mencatat kemenangan.

''Banyak lagi yang kena dibaiki, soal kecergasan, kawalan bola dan kerja sepasukan hanya sudut semangat sahaja yang tinggi sehingga membantu mereka menang,'' katanya hari ini.

Kelantan sebelum ini membuktikan pasukan itu adalah kuasa bola sepak dalam divisyen dua apabila menjuarai Piala Liga sekali gus melayakkannya ke divisyen satu pada musim depan.

Meskipun pasukan itu masih dianggap 'terkejut' dalam saingan Piala Malaysia musim ini, pasukan yang majoritinya dibarisi pemain muda nampaknya begitu cepat mentafsirkan rentak lawan.

Malah kehadiran Kelantan dalam saingan Piala Malaysia pada musim ini adakalanya menimbulkan rasa gementar di kalangan pasukan lain, apakah mereka akan menjadi mangsa seterusnya.

Wan Hashim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberitahu, beliau percaya pasukan Kelantan boleh pergi lebih jauh jika kelemahan-kelemahan tersebut diatasi.

''Kalau mereka membaiki kelemahan ketara seperti gerakan penyudah, kerja berkumpulan dan sudut kecergasan, saya fikir tidak mustahil Kelantan boleh ke separuh akhir,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Hashim membayangkan kesebelasan pemain yang akan turun menentang Kuala Lumpur pada minggu ini akan mengalami beberapa rombakan khususnya di bahagian tengah.

Beliau berkata, perubahan itu bertujuan untuk menggantikan beberapa pemain yang tidak dapat membawa tanggungjawab tertentu sebelum ini sehingga menjejaskan usaha mencari gol.

Katanya, beliau juga sebelum ini telah mengingatkan pemain Kelantan agar tidak cepat lupa diri selepas berjaya mengatasi Pulau Pinang kerana perjuangan pasukan itu masih lagi jauh.

Menyentuh mengenai masalah kecederaan pemain, menurut Wan Hashim, pasukan itu kini bebas daripada masalah tersebut malah bekas pemain skuad Olimpik, Nik Fadli Nik Leh juga sudah pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk beraksi.

Oleh: MEOR HARMAN MEOR SHAKRI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4avSLlkek © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan